Miliki sijil halal syarat perbaharui lesen perniagaan di Kelantan

Iklan
Mohd Asri (empat, kanan) semasa merasmikan Penyerahan Sijil Halal Nasken International Sdn Bhd di Kota Seribong, Pasir Hor, Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun pelaksanaan berkenaan akan diperluaskan kepada PBT-PBT lain di negeri ini.

"Pada masa yang sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) turut membuka peluang untuk mendapatkan sijil halal kepada industri kecil, perhotelan serta individu yang mengusahakan produk makanan serta minuman di rumah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penyerahan Sijil Halal Nasken International Sdn Bhd di Kota Seribong, Pasir Hor di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah NC Manufacturing Sdn Bhd, Fatimatul Hazwani Che Hashim.

Menurut Mohd Asri, setakat Januari hingga Disember tahun ini sebanyak 453 premis telah diiktiraf sebagai pemilik SPHM.

Iklan

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, 198 premis itu terletak di Kota Bharu dan selebihnya di jajahan seluruh Kelantan.

Tambah beliau, hampir 80 peratus premis berkenaan pemiliknya adalah Melayu Islam dan selebihnya bukan Islam.

"Di Kelantan tiada isu orang bukan Islam rasa 'rigid' dengan sijil halal, mereka boleh terima.

"Sementara itu setiap tahun Jaheaik akan membuat pemantauan mengejut untuk tujuan pemeriksaan kepada semua premis yang memiliki SPHM," katanya.