Kadar premium tarif elektrik hijau kekal sehingga 2025

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

SHAH ALAM - Kadar premium tarif elektrik hijau (GET) akan dikekalkan pada tahun depan dengan beberapa penambahbaikan termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang sehingga 2027.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, penawaran baharu itu akan memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, GET diteruskan pada 2025 melalui tawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600GWj dengan kadar premium sama iaitu 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana serta tinggi.

"GET diperkenalkan pada 2021 merupakan antara inisiatif strategik kerajaan menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Iklan

"Sejak diperkenalkan, GET membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWj bekalan elektrik hijau kepada lebih 3,000 pengguna dalam pelbagai kategori dan membantu pengguna memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

"Ia khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Tambah Petra, pihaknya bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) telah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas GET.

Kementerian itu berkata, kerajaan memutuskan bahawa pengguna yang melanggan GET 2025 tidak akan dikenakan caj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

"Langkah ini penting bagi memberikan gambaran sebenar bahawa tenaga elektrik hijau adalah tidak terdedah dengan pergerakan harga bahan api.

"Kadar premium GET bagi 2025 juga ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah (tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H serta Lampu Jalan G & G1).

"Manakala 20sen/kWj bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi (tarif Perdagangan C1, C2, C3 & C4, Perindustrian E1, E2 & E3, Perlombongan F1 & F2 serta Pertanian Spesifik H1 & H2),” ujarnya.

Menurut kementerian itu, langganan boleh dilakukan pada 1 Mac tahun depan melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan langganan tarikh belakang (backdate subscription) untuk tempoh bermula 1 Januari 2025.

Ujarnya, bergantung kepada tempoh langganan, ‘lock in period’ langganan GET adalah sehingga 31 Disember.

"Pembaharuan langganan GET adalah secara automatik berdasarkan tempoh langganan asal selepas ‘lock in period’ tamat sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan oleh pengguna.

"Selain itu, opsyen baharu tawaran langganan GET jangka panjang sehingga tahun 2027 disediakan dengan kadar premium yang lebih rendah iaitu untuk tempoh satu tahun dikenakan 10 sen.kWj untuk kediaman dan bukan kediaman voltan rendah manakala 9 sen kWj untuk dua tahun dan 8 sen/kWj bagi tiga tahun.

"Untuk bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi pula adalah 20 sen/kWj untuk setahun, 19 sen/kWj (dua tahun) dan 18 sen/kWj (tiga tahun).

"Opsyen penamatan awal tempoh ‘locked-in’ pengguna GET disediakan bagi langganan tahunan dan jangka masa panjang dengan kos penamatan sebanyak 2sen/kWj akan dikenakan terhadap baki langganan GET yang tidak dihabiskan,” ulasnya.