Cubaan seludup empat monyet kecil bernilai RM60,000 dari Afrika gagal

Iklan
Pemeriksaan mendapati empat ekor hidupan liar disyaki Golden-handed tamarin (Saguinus midas) iaitu spesies monyet kecil itu dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah. Monyet ini disembunyikan dalam sangkar kayu dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

SEPANG - Cubaan menyeludup empat monyet kecil bernilai RM60,000 dari Afrika yang disembunyikan dalam sangkar kayu terbongkar menerusi operasi di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Selasa lalu.

Tindakan dibongkar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi hasil risikan dan maklumat itu turut memberkas seorang lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai ejen penghantaran.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi dijalankan menerusi pemeriksaan kira-kira jam 4 petang.

"Pemeriksaan mendapati empat ekor hidupan liar disyaki Golden-handed tamarin (Saguinus midas) iaitu spesies monyet kecil itu dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah.

Iklan

"Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua hidupan liar ini dipercayai diseludup dari Afrika untuk dijual dalam pasaran tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, susulan itu seorang lelaki tempatan turut ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan terbabit.

Iklan

"Individu berumur 28 tahun dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Perhilitan juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan penerima hidupan liar ini," katanya.

Menurutnya, tindakan dijalankan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

"Usaha secara berterusan dilaksanakan menerusi penguatkuasaan dan operasi bagi memerangi jenayah hidupan liar.

"Khazanah alam ini perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," katanya.