KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada Khamis, mendakwa kecuaian kakitangan hospital menyebabkan bayinya terjatuh katil sehingga kerap diserang sawan.
Muhammad Syarifuddin Manan, 24, berkata, kejadian berlaku pada 17 November lalu ketika anak sulung perempuannya itu baru berusia dua hari.
Menurutnya, ketika kejadian, bayinya yang disahkan menghidap jaundis dibawa oleh jururawat ke kenderaan untuk dipindahkan ke hospital lain.
"Ketika proses memindahkan itu, bayi saya terjatuh dari katil bayi (baby cot) menyebabkan kepalanya terhentak ke atas jalan.
"Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana diserang sawan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini pada Khamis.
Muhammad Syarifuddin berkata, bayinya yang seberat 3.3 kilogram (kg) dilahirkan normal dan sihat sebelum ditimpa insiden itu.
Bagaimanapun, katanya, dia bimbang tahap kesihatan bayinya itu merosot ekoran insiden itu sekali gus mengganggu pembesarannya.
"Saya harap kes sebegini tidak lagi berulang, anak saya mendapat keadilan dan pihak hospital dapat menambah baik perkhidmatan yang disediakan," katanya
Sementara itu, peguamnya, Mohd Hazwan Hamidun berkata, pihaknya berharap mendapat penjelasan dari hospital berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas laporan itu dibuat.
Katanya, laporan polis dibuat pada Khamis adalah laporan kedua selepas laporan pertama dibuat sejurus insiden berlaku pada 17 November lalu.
"Sebelum ini, bapa kepada bayi ini telah membuat laporan polis pada hari kejadian.
"Dia juga telah beberapa kali berhubung dengan pihak hospital berkenaan kes menimpa bayinya, bagaimanapun pihak hospital menafikan ia berpunca daripada kecuaian.
"Namun, kenyataan daripada saksi kejadian menunjukkan terdapat unsur-unsur kecuaian dalam kes ini," ujarnya.
Mohd Hazwan berkata, kes itu diharap mendapat perhatian pihak hospital sebelum tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut.