SSPA: Jangan buat pinjaman tidak perlu susulan kenaikan gaji

Iklan
Penjawat awam diingatkan agar tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih yang tidak perlu susulan kenaikan gaji di bawah SSPA. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penjawat awam diingatkan agar tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih yang tidak perlu susulan kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, SSPA seharusnya tidak dijadikan alasan untuk penjawat awam menambah pinjaman, yang akhirnya akan menambah beban kewangan.

Iklan
Iklan

"Jika ingin membuat pinjaman, ia seharusnya untuk tujuan yang memberi keuntungan pada masa hadapan, seperti pinjaman perumahan atau pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli telefon bimbit dan sebagainya.

"Risikonya, penjawat awam mungkin akan menghadapi masalah kewangan," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Khamis.

Iklan

Melalui SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim ini, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa. Fasa pertama, sebanyak lapan peratus, akan diberikan pada Disember 2024, manakala tujuh peratus lagi pada Fasa 2, Jan 2025.

Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pula akan menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus, dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.

Iklan

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan SSPA adalah tepat pada masanya memandangkan gaji penjawat awam sudah hampir 12 tahun tidak disemak, sedangkan kos sara hidup kian meningkat dalam tempoh tersebut.

"Apabila tidak disemak, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa, ia membebankan dan mengusarkan penjawat awam kerana kos sara hidup yang tinggi, sehingga sukar untuk mencukupi perbelanjaan harian, termasuk untuk rumah," katanya.

Ditanya mengenai pandangan Cuepacs berkenaan 1,400 penjawat awam yang memilih untuk tidak menerima opsyen SSPA, beliau berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dan Cuepacs menghormati keputusan tersebut. - Bernama