MPAJ mula edar bil cukai taksiran baharu secara berperingkat

Iklan
Pemakluman senarai nilaian baharu serta panduan semakan bantahan di bawah MPAJ.

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menghantar bil cukai taksiran nilaian baharu bagi penggal pertama Januari hingga Jun 2025 secara berperingkat kepada pemilik hartanah.

MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, ia selaras dengan keputusan pihak berkuasa negeri bahawa had kenaikan dibenarkan adalah sebanyak 25 peratus daripada cukai taksiran semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, senarai nilaian baharu terhadap semua pegangan di kawasan MPAJ itu akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

"Pemilik pegangan atau hartanah yang telah mengemukakan bantahan dari tempoh 18 April hingga 31 Mei 2024 melibatkan seramai 22,400 pemilik boleh membuat semakan keputusan melalui www.mpaj.gov.my atau https://app1.epenilaian.com/apps/app-semakan-keputusan-bantahan.php dengan menggunakan nombor akaun cukai taksiran masing-masing.

Iklan

"Semakan keputusan bantahan juga boleh dibuat di kaunter Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah, Aras 12, Menara MPAJ yang beroperasi jam 8 pagi sehingga 5 petang," katanya.

Selain itu katanya, penghantaran surat fizikal juga telah dilaksanakan kepada 3,126 pemilik yang hadir membuat bantahan secara semuka pada Sesi Mendengar Bantahan antara 1 hingga 31 Julai lalu.

Iklan

Ujarnya, sebarang pertanyaan berkaitan senarai nilaian baharu boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah MPAJ di talian 03-42857013 / 7072 / 7268.

Pada 9 Disember lalu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim mengumumkan Selangor akan menaikkan cukai taksiran sehingga 25 peratus bermula Januari depan.

Senarai nilaian baharu itu diluluskan kerajaan negeri selepas penangguhan pelaksanaannya pada 2019.

Melalui nilai baharu ini, 11 PBT di Selangor akan mendapat lebihan kutipan cukai taksiran RM355 juta yang akan digunakan untuk naik taraf infrastruktur dan kemudahan lain.