LUMUT - Bayi lelaki berusia 15 bulan yang maut bersama ibunya dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, awal pagi Khamis, disahkan tercampak keluar sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Iman Irfan Mohammad Shuqur dan ibunya, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, masing-masing penumpang Perodua Kelisa disahkan maut di lokasi kejadian.
Bapa, Mohammad Shuqur Ahmad, 24, yang memandu kereta terbabit serta seorang lagi anak mereka, Muhammad Alif Sufi, 3, terselamat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati kereta yang dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan.
"Keadaan itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas sendiri merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan mengakibatkan mangsa tercampak keluar.
"Kemudian datang sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti yang tidak sempat lalu melanggar kanak-kanak tersebut manakala sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 27 tahun turut merempuh kereta Perodua Kelisa tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut Hasbullah, akibat kemalangan itu dua beranak berkenaan disabkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu mengalami kecederaan.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6375962 atau 05-6899072 bagi membantu siasatan.