KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukuman sebat di depan khalayak sebagaimana yang dibuat Terengganu.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, hal ini kerana kerajaan tidak mahu timbulnya sebarang polemik melibatkan perkara tersebut di kemudian hari.
"Di Kelantan masih belum dilaksanakan proses sebatan, itu sahaja, namun sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) telah luluskan lebih lama dari Terengganu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penyerahan Sijil Halal Nasken International Sdn Bhd di Kota Seribong, Pasir Hor di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah NC Manufacturing Sdn Bhd, Fatimatul Hazwani Che Hashim.
Tambah Mohd Asri, kerajaan negeri perlu mengadakan perbincangan dari pelbagai sudut termasuk pendapat daripada pihak polis dan penjara.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi lelaki pertama di Terengganu dijatuhi hukuman enam sebatan di depan khalayak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas kesalahan khalwat berulang.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, juga menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.