MELAKA - Lapan individu yang terdiri daripada lima dewasa dan tiga bayi terselamat dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Pantai Ayer Keroh baru-baru ini.
Kesemua mangsa diberi rawatan pertolongan cemas dengan pantas dan distabilkan di lokasi sebelum dipindahkan ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan untuk rawatan lanjut.
Situasi cemas itu bagaimanapun bukan kejadian sebenar sebaliknya latihan simulasi kebakaran yang dilaksanakan oleh pihak hospital tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ayer Keroh, Tan Yew Aik berkata, latihan tahunan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan hospital untuk memastikan kesediaan dan keupayaan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) untuk menguruskan krisis dengan cekap.
"Api boleh menyerang pada bila-bila masa, dan adalah penting bagi kakitangan kami untuk terus berjaga-jaga dan bersedia untuk bertindak balas dengan berkesan.
"Latihan ini berfungsi sebagai peluang untuk memperhalusi protokol hospital, meningkatkan kerja berpasukan dan memastikan semua orang memahami peranan mereka dalam menguruskan kecemasan," katanya.
Ujarnya, Pasukan Tindak Balas Kecemasan hospital secara konsisten meningkatkan kesediaannya melalui latihan seumpama ini dalam menghadapi situasi cemas.
"Setiap detik penting dalam kecemasan, dan latihan ini direka untuk membantu kami bertindak balas dengan pantas dan berkesan,” katanya.
Latihan itu dijalankan dengan kerjasama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Bukit Katil.
Seramai 130 peserta, termasuk kakitangan hospital dan sukarelawan pelajar dari Kolej Perubatan Antarabangsa terlibat dalam latihan tersebut.