JASIN - [DIKEMAS KINI] Hasrat mahu tukar pemandu di susur keluar Ayer Keroh tidak kesampaian apabila kereta dinaiki empat pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk pulang ke universiti terbabit kemalangan di di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara dekat sini pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kereta Perodua Myvi dipandu Nur Hanis Suraya dalam perjalanan dari Johor ke Melaka disyaki hilang kawalan setiba di lokasi kejadian.
"Kenderaan itu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
"Kedua-dua penumpang di sebelah kiri kenderaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan maklumat awal kemalangan dipercayai berlaku apabila Nur Hanis Suraya ingin bertukar pemandu dengan salah seorang rakannya, tetapi kereta dipandu terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang.
"Kita percaya mereka ini bercadang untuk bertukar pemandu di susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
"Pemandu dan penumpang belakang sebelah kanan yang mengalami luka serta cedera pada kaki telah menerima rawatan Melaka manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jasin.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataannya memaklumkan lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi dan tiba 18 minit kemudian.
"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Perodua Myvi terbabas dan terdapat dua mangsa wanita berusia 20-an berjaya keluar.
"Terdapat dua mangsa wanita tersepit dalam kenderaan yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.
"Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.