Persiapan akhir hukuman sebat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah berjalan lancar

Iklan
Muhammad Khalil (kiri) meninjau persiapan akhir hukuman sebat di Masjid Al-Muktafi Billlah Shah di Ladang, Kuala Terengganu. Foto Facebook Dr Muhammad Khalil

KUALA TERENGGANU - Proses akhir pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini berjalan lancar.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau telah dibawa melawat ke ruangan hukuman itu untuk meninjau persiapan dilakukan oleh petugas masjid.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persiapan hukuman yang akan dilaksanakan di Dewan 'Aasim di masjid berkenaan turut melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

"Persiapan rapi yang dilakukan menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk memastikan pelaksanaan hukuman itu berjalan lancar serta mematuhi syariat.

Iklan

"Semoga pelaksanaan esok berlangsung dengan baik dan memberi manfaat serta kesedaran kepada masyarakat," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya di sini pada Khamis.

Muhammad Khalil (kanan) mendengar penerangan di ruangan hukuman sebatan dalam Dewan Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu. Foto Facebook Dr Muhammad Khalil

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, beliau turut berpeluang mendengar penerangan daripada pihak berkaitan mengenai prosedur perlaksanaan hukuman itu.

Iklan

Katanya, beberapa garis panduan telah ditetapkan bagi memastikan seramai 70 individu dibenarkan menyaksikan hukuman itu, termasuk media mematuhi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, tinjauan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini mendapati petugas masjid telah menampal notis di kawasan dewan berkenaan yang menyatakan larangan mengambil gambar dan video sepanjang pelaksanaan hukuman tersebut.

Selain itu, meja pendaftaran masuk kepada individu yang menyaksikan hukuman itu telah disusun di pintu hadapan dewan selain pemasangan tali rentang untuk memastikan perjalanan hukuman itu berjalan lancar.

Sinar Harian pada 20 November lalu melaporkan seorang duda menjadi lelaki pertama di Terengganu yang akan dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, di sini kerana melakukan kesalahan khalwat kali ketiga.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Mohd Affendi juga menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.

Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.