AMPANG - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM300,000 khusus kepada enam kebun komuniti bagi memperluas projek tanaman melon di Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, kebun terpilih itu akan dibekalkan peralatan perlindungan hujan (rain shelter) serta set lengkap hidroponik.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan langkah kerajaan negeri memperluas sektor pertanian bandar serta meningkatkan pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Selangor.
"Projek ini telah berjaya di Pandan Jaya yang kini memasuki tanaman kali keempat dan telah menghasilkan melon bermutu, cepat serta mudah menggunakan teknik tanaman moden.
"Melalui kejayaan ini, projek tanaman melon di Pandan Jaya ini akan dijadikan pusat latihan. Peserta akan dibimbing dari awal tanaman hingga ke kaedah pemasaran yang projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Input Pertanian dan Pelaksanaan Projek Melon di bawah Program Agro Bandar dan Kebun Komuniti Selangor 2024 di Kampung Pandan Dalam di sini pada Khamis.
Pada program itu, sebanyak RM450,000 bantuan keseluruhan disalurkan.
Ia membabitkan bantuan RM5,000 dari segi peralatan kepada 30 kebun komuniti serta RM50,000 setiap satu kepada enam projek melon.
Katanya, Selangor antara negeri yang mempunyai peruntukan besar dalam sektor pertanian sebagai usaha memastikan kelangsungan rantaian makanan serta menggalakkan pertanian bandar.
"Baru-baru ini Selangor menyalurkan bantuan dan sokongan lebih RM2 juta kepada pelbagai jenis pertanian, sektor penternakan serta kumpulan nelayan.
"Saya difahamkan kerajaan pusat juga menyediakan peruntukan sekitar RM2.2 juta untuk kegiatan kebun komuniti di Selangor," katanya.
Izham berkata, beliau yakin gabungan antara negeri dan pusat mampu meningkatkan hasil pertanian negara.
Selain itu katanya, Selangor sendiri memfokuskan projek pertanian bernilai tinggi yang setakat ini telah melaksanakan penanaman melon, MD2 nanas selain ternakan udang kara.
"Pada tahun depan, kita akan kembangkan kepada tanaman vanila, cendawan serta halia yang dikenal pasti mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.
"Kita perlu pastikan tanaman yang dihasilkan ada permintaan pasaran. Kalau tanaman yang dihasilkan tiada permintaan, ia akan menyebabkan harga jatuh dan merugikan petani," katanya.