GEORGE TOWN - Unit Hal Ehwal Murid (HEM), Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menyeru semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini untuk hadir Ujian Mendengar SPM dan Ujian Bertulis SPM yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menerusi satu kenyataan, Unit HEM memaklumkan Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan diadakan pada 31 Disember depan manakala Ujian Bertulis SPM yang bermula pada 2 Januari 2025 hingga 6 Februari 2025.
"Kesempatan ini, Unit HEM ingin memaklumkan kepada warga komuniti, ibu bapa dan calon SPM berkaitan seruan jom hadir SPM.
"Untuk makluman semua dan calon SPM 2024, pihak JPN Pulau Pinang menyeru agar semua calon SPM dapat hadir pada 31 Disember 2024 bagi menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta hadir sewaktu Ujian Bertulis SPM yang bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang turut memohon perhatian ibu bapa, penjaga, jiran tetangga dan warga komuniti agar memaklumkan kepada anak-anak yang akan menduduki SPM dapat hadir ke dewan peperiksaan berdasarkan jadual yang telah diberikan kepada semua calon.
Tegasnya, kehadiran semua calon adalah sangat penting untuk perkembangan diri, kesejahteraan, dan kejayaan masa depan mereka.
"Mohon kepada ibu bapa dan semua calon SPM bersedia juga dalam aspek kesejahteraan mental dan emosi.
"JPN Pulau Pinang sangat menitikberatkan kejayaan dan masa depan semua calon SPM.
"Keberhasilan semua calon SPM bergantung pada kesungguhan mereka serta perhatian dan sokongan ibu bapa, para guru, penjaga, waris dan jiran tetangga," katanya lagi.