Telegram, WeChat mulakan proses pelesenan untuk beroperasi di Malaysia

Iklan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

CYBERJAYA – Penyedia perkhidmatan pesanan dalam talian, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mereka beroperasi di Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, kedua-dua platform itu dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Katanya, SKMM turut memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut.

"SKMM mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember 2024.

Iklan

"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada 27 Julai lalu, media melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari depan.

Iklan

Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

SKMM menegaskan, keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Menurutnya, kerangka tersebut dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.

"Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.

"SKMM juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” ujarnya.