Wanita Thailand didenda RM9,000 miliki 34kg minyak masak bersubsidi

Iklan
Hakim turut memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu grab dihukum penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda. Foto hiasan

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita Thailand didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 34 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi tanpa lesen pada Disember tahun lepas.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid turut memerintahkan Salmee Changwang, 49, yang bekerja sebagai pemandu grab dihukum penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Salmee dituduh memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 34 peket iaitu 34kg dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux Revo di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian pada jam 4.30 petang, 19 Disember 2023.

Dia didakwa dalam keadaan menimbulkan syak dan niat munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak itu secara runcit atau borong tanpa lesen.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Sementara itu, di mahkamah sama Hakim Sharifah Norazlita menjatuhi hukuman denda RM20,000 terhadap pemandu lori Haw Boon Guey, 58, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki campuran petrol dan diesel sebanyak 400 liter tanpa lesen pada Jun tahun lepas.

Iklan

Hakim juga memerintahkan Boon Guey dipenjara lapan bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan, Jalan Kaki Bukit berhampiran sebuah stesen minyak di Beseri pada jam 10.30 pagi, 21 Jun 2023.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.

Pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, S Mugunthan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membayar denda yang dikenakan. - Bernama