KOTA BHARU - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan lima kes tangkapan sejak larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok dikuatkuasakan bermula 1 Disember lalu.
Dalam tempoh 26 hari penguatkuasaan, seramai 13 individu telah ditahan terdiri daripada lima warganegara tempatan dan lapan warganegara asing iaitu tiga dari India dan lima warga Thailand.
Mereka terdiri daripada 11 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Tangkapan pertama dilakukan pada 7 Disember sebaik sahaja air Sungai Golok di Rantau Panjang mulai surut ekoran banjir buruk yang melanda Kelantan bermula 24 November lalu.
Terbaharu, pada Rabu seorang lelaki telah ditahan selepas merentas masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Tumpat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, masih ada yang berani menggunakan pangkalan haram untuk merentas sempadan, namun ia dilakukan secara curi-curi.
"Kesempatan tersebut biasanya dilakukan ketika PGA tidak membuat rondaan. Bagaimanapun kami sentiasa proaktif serta mengubah operasi dan modus operandi supaya penugasan di sempadan gagal dikesan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, melihat kepada keadaan semasa apabila suasana di Sungai Golok mulai tenang tanpa sebarang pergerakan yang mencurigakan melibatkan bot atau perahu menandakan orang ramai terutama yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand mulai faham tentang undang-undang serta peraturan pihak berkuasa.
Ujar Nik Ros Azhan, keadaan di pangkalan haram yang sebelum ini sentiasa sesak dengan orang ramai mulai sepi.
"Kemungkinan sebelum ini mereka tidak dimaklumkan atau diuar-uarkan dengan undang-undang di sempadan.
"Namun selepas diberi penerangan mereka mulai faham dan menggunakan ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) untuk keluar masuk antara Malaysia-Thailand," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Majistret Pasir Mas menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 kepada tiga lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang.