Kerja pembersihan tumpahan minyak di Lebuhraya Karak selesai petang ini - Exco

Iklan
Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di KM 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur dijangka selesai sepenuhnya lewat petang ini. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

SHAH ALAM - Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak susulan insiden kemalangan lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di Kilometer (KM) 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur, semalam dijangka selesai sepenuhnya lewat petang ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerja-kerja menyodok keluar perlu dilakukan, selepas sisa minyak berkenaan membeku dan tebal.

Iklan
Iklan

"Sehingga jam 10.30 pagi tadi, kerja-kerja pembersihan di lokasi terlibat telah mencapai 60 peratus, dan ia masih giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Indah Water Konsortium (IWK).

"Empat lori tangki sedut milik IWK digunakan bagi menyedut sisa minyak di kebuk takungan lebuh raya. Pada masa sama, kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepat proses,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Iklan

Jamaliah berkata, semakan menyeluruh di lokasi insiden kemalangan dan persekitaran telah dilakukan LUAS, yang mendapati tumpahan berkenaan masuk ke dalam longkang berhampiran dengan anggaran 20 tan minyak.

"Semakan LUAS turut mendapati terdapat limpahan tumpahan yang terkumpul di kebuk takungan lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak, dan ia menjejaskan bekalan air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak pada jam 2 pagi sehingga 6 petang semalam.

Iklan

"Di samping itu, LUAS telah melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan tiga unit oil boom di anak Sungai Gombak bagi memerangkap sebarang kesan minyak memasuki sungai itu dan 10 beg activated carbon bagi tujuan nyahbau,” katanya.

Jamaliah berkata, konsesi lebuh raya terlibat iaitu AFA PRIME Berhad (dahulunya dikenali ANIH Berhad) segera melaksanakan pengawalan tumpahan minyak dengan meletakkan serbuk kayu di atas jalan dan membina ban tanah di longkang lebuh raya.

Media semalam melaporkan, seorang pemandu lori tangki terselamat apabila kenderaan dipandu terbalik di Lebuhraya Karak, dekat Genting Sempah dipercayai mengalami masalah brek.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lori tangki yang membawa muatan minyak sawit dipandu lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang.