MOSCOW - Lubang besar pada bahagian ekor pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada Rabu mencetuskan spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh, lapor Agensi Anadolu (AA).
Lubang itu yang jelas kelihatan dalam gambar dan video pesawat Embraer 190, disyaki berpunca daripada tembakan senjata, menurut beberapa pengulas dan orang awam di media sosial.
Ketika penyiasat dari Kazakhstan dan Azerbaijan belum mengulas mengenai lubang itu, warga maya di media sosial telah membuat spekulasi bahawa pesawat berkenaan ditembak jatuh.
Perdebatan itu disokong oleh laporan mengenai kegagalan pesawat itu mendarat di Grozny, Chechnya, akibat serangan dron Ukraine beberapa jam sebelum nahas berlaku.
Juruterbang dilaporkan mengubah haluan penerbangan ke bandar Makhachkala di wilayah jiran Dagestan tetapi terhalang oleh kabus dan akhirnya memohon untuk mendarat di Aktau, sebuah bandar di tepi Laut Kaspia.
Kementerian Pengangkutan Kazakhstan pada Khamis memaklumkan bahawa kakitangan Jabatan Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pengangkutan kini berada di lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurut kementerian itu, siasatan dilakukan dengan kerjasama rapat bersama delegasi Agensi Penerbangan Awam Azerbaijan dan wakil Azerbaijan Airlines yang tiba di Kazakhstan.
Azerbaijan Airlines menggantung penerbangan dari Grozny ke ibu negara Azerbaijan, Baku dan Makhachkala sehingga siasatan selesai.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kecemasan Kazakhstan memaklumkan bahawa tujuh daripada 38 mangsa yang terkorban dalam nahas itu telah dikenal pasti, manakala enam mangsa yang cedera masih dirawat di unit rawatan rapi.
Kementerian Kecemasan Rusia memaklumkan sembilan rakyatnya yang cedera dalam nahas itu telah dibawa pulang.
Pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 orang - 62 penumpang dan lima kru - dalam penerbangan dari Baku ke Grozny terhempas pada Rabu berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan.
Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev melaporkan bahawa nahas itu mengorbankan 38 nyawa manakala 29 orang terselamat. - Bernama