Sudah merdeka 67 tahun, masih ada kekurangan penguasaan bahasa kebangsaan - DBP

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 67 tahun, isu penguasaan bahasa kebangsaan masih menjadi antara isu utama dalam kalangan masyarakat, kata Ketua Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Ghani Abu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri beberapa kali menekankan peri pentingnya bahasa dalam membina sebuah negara bangsa, dan peruntukan RM50 juta untuk DBP selaku badan bertanggungjawab, jelas menunjukkan kepentingan agenda tersebut.

Iklan
Iklan

Tegasnya lagi, jika dilihat contoh-contoh pembinaan tamadun besar dunia, bahasa dan sastera saling berhubungan antara satu sama lain, dan menjadi satu misi dan visi buat DBP untuk terus aktif melaksanakan program dan inisiatif pemerkasaan bahasa Melayu pada tahun 2025.

"(Ia ibarat) simbiosis, tanpa bahasa dan sastera, kita hanya lihat pembangunan fizikal, sedangkan apa yang hendak kita bangunkan dalam sesebuah negara, ialah jiwa dan nurani rakyatnya. Yang ini kita boleh kita kembangkan melalui bahasa.

Iklan

"Saya kira itu antara beberapa kekuatan kita pada tahun 2024, dan mungkin (peruntukan RM50 juta) merupakan signal oleh Perdana Menteri bahawa 2025 nanti, DBP perlu terus aktif untuk memperbanyak lagi program berkaitan dengan bahasa dan sastera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu bersiaran bersama-sama hos Agenda AWANI, Fauzi Zin, bagi membincangkan tentang peranan bahasa Melayu sebagai khazanah bangsa.

Iklan

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri turut memperuntukkan RM50 juta untuk DBP bagi merancakkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga untuk inisiatif menterjemah bahasa karya-karya agung, penganjuran teater, serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam dan suku lain di negara ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, perancangan strategik DBP 2021 – 2025 telah menetapkan tiga tema utama, iaitu – Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara.

"Sepanjang dua tiga tahun ini juga kita telah melihat digitalisasi, dan juga apa yang disebut sebagai kecerdasan buatan (AI) sekarang, tentang bagaimana bahasa harus berkembang dan harus mengoptimum penggunaan teknologi dalam konteks melestarikan bahasa.

"Dalam hal ini peruntukan RM50 juta oleh PM itu menjadi cabaran hebat kepada DBP, pengguna bahasa sendiri, dan bagaimana untuk menggunakan teknologi dalam membina bahasa.

"Dan yang paling penting, bagaimana untuk kita merakyatkan bahasa ini kepada seluruh masyarakat supaya sentiasa menggunakan bahasa yang baik dan betul,” katanya lagi. - Awani