KUALA TERENGGANU - Proses pengambilan pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak melalui amalan 'pintu belakang', malah ketika ini sebanyak 43 peratus daripada 13,849 pelajar yang sedang mengikuti pelbagai kursus dan program pengajian di kampus tersebut merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata, dakwaan bahawa terdapat ketidaktelusan dalam proses pengambilan pelajar adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan.
"UniSZA ingin menegaskan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam memastikan akses pendidikan tinggi untuk semua khususnya golongan yang memerlukan.
"Bagi sesi akademik 2024/2025, UniSZA telah menerima seramai 2,118 pelajar daripada golongan B40 ke pelbagai program termasuk Program Asasi Sains dan Perubatan serta Program Sarjana Muda.
"Kini sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan pelajar aktif UniSZA terdiri daripada kategori B40 sekali gus mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada pendidikan tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah bahawa wujud kemasukan pelajar ke universiti awam melalui ‘pintu belakang’ sekali gus menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Pada Sabtu lalu, Haim dalam satu ceramah perdana dipercayai diadakan di Ayer Molek, Melaka mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui 'saluran terbuka' menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Sementara itu, Fadzli berkata, UniSZA telah mengagihkan bantuan berjumlah RM1.8 juta pada tahun ini bagi menyokong pelajar yang memerlukan.
"Bantuan ini merangkumi pelbagai inisiatifseperti bantuan kewangan; peluang pekerjaan di kampus; pemberian peranti digital; elaun sukarelawan; program pembangunan asnaf dan sumbangan zakat.
"Inisiatif- inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar dari golongan B40 dan asnaf mendapat akses kepada pendidikan tinggi tanpa halangan," jelas beliau.