SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengingatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar tidak membuat kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perlaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Syariah Terengganu berpandukan lunas perundangan yang jelas serta tidak bertentangan dengan kuasa negeri dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Negeri itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.
"DUPP juga ingin mengingatkan Suhakam bahawa dalam undang-undang, prinsip hukuman setimpal (retributive justice) dan pencegah rintang kepada masyarakat di luar sana sangat mustahak.
"Usah membakulkan segala-segalanya atas nama hak asasi manusia semata-mata sehingga mengenepikan peranan undang-undang dalam mengurus kehidupan manusia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, Suhakam seharusnya mengangkat prinsip perundangan serta menilai hak asasi daripada perspektif agama, bukan bertindak sebaliknya berpandukan kepada agenda hak asasi manusia ciptaan barat yang telah rosak.
"Justeru, DUPP menegaskan bahawa hukuman sebatan di khalayak ramai ini adalah wajar dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah si pesalah.
"Ia perlu dilihat dalam konteks hukuman yang membentuk keinsafan kepada si pesalah dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sedemikian pada masa akan datang,” ujarnya.