Bermula minat, kini pengusaha air nira

Iklan
Jamaluddin menunjukkan air nira yang turut dipasarkan di Pasar Tani di daerah ini.

KUANTAN - Bermula daripada minat terhadap minuman tradisional, pasangan suami isteri dari Kampung Baru Sri Pandan di sini kini berjaya menjual sehingga 50 botol air nira sehari.

Usaha gigih Jamaluddin Husain, 48, dan isterinya, Nor Azira Mohd, 50, membuahkan hasil apabila mereka mampu memperoleh pendapatan sampingan daripada penjualan air nira sejak enam tahun lalu.

Iklan
Iklan

Bapa kepada empat anak berkata, semuanya bermula apabila dia menyedari permintaan tinggi terhadap air nira, tetapi bekalan di kawasan mereka sangat terhad.

Jamaluddin sedang mengikat botol bagi membolehkan air nira dikumpulkan.

"Dulu, kami selalu berulang-alik ke Kijal, Terengganu untuk membeli air nira. Di kawasan kami, tiada siapa yang menjualnya.

Iklan

"Dari situ, timbul idea untuk cuba menghasilkan sendiri. Pada awalnya banyak percubaan gagal, tapi kami sering bertanya kepada mereka berpengalaman dan akhirnya berjaya menghasilkan air nira yang berkualiti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Sri Pandan di sini pada Khamis.

Dia yang menjalankan perniagaan kedai makan memberitahu, lebih 30 pokok kelapa ditanam di atas tanah seluas 0.4 hektar di kebun miliknya bagi mendapatkan air nira.

Jamaluddin sedang memotong mayang kelapa untuk mengeluarkan air nira.

Iklan

Jelasnya, air nira tersebut akan dituai dua kali sehari, pada waktu pagi dan petang sebelum dipasarkan kepada pelanggan.

"Pada musim kemuncak, saya mampu menghasilkan sehingga lebih 20 liter air nira dan jumlah ini boleh mencecah 50 botol sehari apabila mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan," katanya.

Nor Azira

Sementara itu, Nor Azira berkata, air nira yang mereka hasilkan diminati pelanggan kerana rasa manis semula jadi tanpa bahan pengawet.

Menurutnya, produk mereka dipasarkan di Pasar Tani sekitar Kuantan dan dijual terus dari rumah.

Jelasnya, sambutan minuman tersebut amat menggalakkan, terutama pada musim panas dan bulan Ramadan.

"Air nira ini bukan sahaja menyegarkan, tetapi juga mempunyai khasiat.

"Kualitinya hampir menyamai madu dan ramai pelanggan kami mencarinya untuk menikmati rasa asli,” katanya.

Jamaluddin memanjat pokok kelapa bagi mendapatkan air nira.

Dalam pada itu, Nor Azira turut mengakui mereka menghadapi cabaran dalam memperluaskan perniagaan kerana kekurangan modal.

"Setakat ini, kami hanya fokus kepada pasaran kecil-kecilan dan bercadang menggunakan media sosial untuk memperkenalkan produk kepada lebih ramai pelanggan," katanya.