DUNIA umrah dan haji sememangnya menjadi 'makanan' buat figura hebat bernama Datuk Md Daud Che Ngah, 78, sejak lima dekad lalu bermula tahun 1974.
Raut wajahnya sentiasa menjadi perhatian ketikan lensa kamera, selain sesekali muncul di kaca televisyen. Sekitar tahun 1990-an pula, suara emasnya saban hari tanpa gagal menyapa halwa telinga kebanyakan orang menerusi corong-corong radio.
Tidak hanya berceloteh, tulisannya pula banyak menghiasi dada akhbar, majalah dan buku.
Semuanya berkaitan kisah-kisah nabi, di samping 'kempennya' kepada masyarakat berkisar ibadah umrah dan haji selain mempromosikan Lembaga Tabung Haji (TH).
Sekalipun sudah tidak bersama dalam keluarga besar TH selepas bersara pada 1998, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) itu masih menggalas tugas sebagai pembimbing jemaah haji serta umrah hingga ke hari ini.
Malah, kelibatnya dilihat aktif memberikan kursus bimbingan haji dan umrah bukan sahaja kepada bakal-bakal jemaah, tetapi juga mutawif.
Meskipun kekerapannya berulang-alik ke Tanah Suci membawa jemaah beribadah tidak serancak sewaktu zaman mudanya, Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz Daud kini boleh menarik nafas lega.
Masakan tidak, ikon dalam perkhidmatan haji dan umrah itu berjaya melahirkan sebanyak 246 mutawif menerusi Akademi Mutawif yang ditubuhkannya.
"Sekarang, kita sudah ganti dengan mutawif muda yang bergilir-gilir mengiringi purata 53,000 hingga 56,000 jemaah Andalusia ke Makkah dan Madinah dalam setahun. Paling ramai kita pernah bawa 65,000 jemaah umrah setahun, manakala haji pula sekitar 600 hingga 1,200 jemaah sejak 2007," katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak ‘nakal’
Barangkali ramai tidak tahu, Ustaz Daud pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Menengah Undang Jelebu, Negeri Sembilan selama dua tahun sebelum menyertai TH.
"Selepas tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya, saya berhasrat mahu melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Malangnya keputusan peperiksaan saya tak cukup untuk masuk ke sana walaupun saya masih boleh memohon ke universiti lain.
"Saya terkenal sebagai anak ‘nakal’. Puas guru-guru dan rakan-rakan nasihat (untuk sambung belajar), saya kata nantilah dulu. Saya pilih untuk jadi warga pendidik, tapi bila tengok kejayaan rakan-rakan di universiti, saya rasa rendah diri. Bagaimanapun, tiba-tiba saya mendapat panggilan kerja daripada TH,” ceritanya mengimbas kembali kerjayanya di TH dan kemudian menyambung pengajian lanjut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Jika mahu diceritakan satu persatu, terlalu banyak kenangan yang dicipta bersama TH.
Antara faktor yang menyebabkan nama Ustaz Daud melangit selepas menjadi perawi kisah-kisah nabi di Radio Televisen Malaysia (RTM) selama 10 tahun yang mencetus fenomena luar biasa.
Sumbangan terbesarnya adalah menghasilkan, menyusun dan membukukan panduan haji serta umrah yang menjadi rujukan ramai hingga ke hari ini.
"Tanggungjawab saya paling ‘mahal’ pada pandangan (Allahyarham) Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi TH) ialah buku panduan (haji dan umrah).Sehingga kini, Ustaz Daud telah menulis sebanyak 12 buku, selain ratusan tulisannya yang tersiar di media cetak berkisarkan haji dan umrah.
"Banyak buku saya buat sebab saya tak nak meninggal dunia tanpa meninggalkan sesuatu yang boleh anak, cucu dan cicit saya pegang,” tuturnya.
Kejayaan Andalusia
Sepanjang lebih dua jam sesi temu bual, bicara Ustaz Daud tidak henti-henti memuji dua insan hebat, Ibrahim Mat Sin dan Ida Riswana Idris.
Mereka masing-masing merupakan Pengarah Urusan Andalusia Travel dan Pengarah Andalusia yang banyak membantunya serta meniti kejayaan bersama.
Jika mahu dihitung, pelbagai pencapaian berjaya digondol Andalusia. Terbaharu, syarikat itu baru sahaja mengungguli dua Anugerah Jenama Tahunan BrandLaureate 2024 anjuran The World Brands Foundation.
Sebelum mereka bertiga melakar kemasyhuran, Ibrahim dan Ida Riswana rupanya merupakan jemaah umrah bimbingan Ustaz Daud pada 2001.
Bermula dengan sebuah pejabat kecil di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota yang juga menumpang firma guaman, Andalusia kemudian berpindah ke Kampung Pandan, Taman Maluri dan kini operasi syarikat itu telah bertapak di bangunan tiga tingkat di Desa Pandan.
Pada masa ini, Andalusia mempunyai 57 cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, selain 1,600 ejen aktif dan lebih 300 kakitangan.