SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berpotensi menang dua pertiga jika berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, jangkaan tersebut berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 52 sampel untuk dipecahkan lebih daripada satu kawasan.
Menurutnya, PH berupaya untuk menambah kemenangan sebanyak 59 kerusi Parlimen hasil pecahan kerusi kawasan bandar yang sebelum ini dimenangi.
"Persempadanan semula itu sangat penting kepada mana-mana parti pemerintah. Bagi saya, dalam tempoh ini, ia begitu penting kepada PH untuk memecahkan kawasan yang menjadi kubu kuat dan kemudiannya menambah bilangan kerusi supaya memberi kelebihan kepada mereka dalam PRU16.
"Perkara itu tidak mustahil berlaku dan sudah tiba masanya persempadanan semula di kawasan tertentu dilakukan kerana... kalau kita lihat satu kawasan itu maju dari segi pembangunan maka populasi pengundi juga meningkat dengan pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘PRU awal: PH-BN boleh menang?’ yang dihoskan oleh Haizir Othman di Dewan Karangkraf pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfiq memberitahu bahawa persempadanan itu bukan sahaja memberi kelebihan kepada parti politik malah turut dirasai rakyat.
Jelas beliau, jika perkara tersebut dilaksanakan maka masyarakat akan memperoleh perkhidmatan yang terbaik daripada wakil rakyat mereka.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfiq turut menegaskan bahawa persempadanan semula itu juga perlu dilakukan terhadap negeri-negeri yang memberi undi besar kepada Perikatan Nasional (PN).
"Rakyat melihat setiap tindak tanduk yang dilakukan parti pemerintah kerana mereka ini sudah cukup matang dengan perkembangan politik dan mempunyai kuasa melalui peti undi.
"Jadi bagi saya persempadanan semula selain daripada memberi kelebihan kepada parti pemerintah, ia sebenarnya untuk menjaga kebajikan rakyat.
"Jangan terlalu padat di suatu kawasan sehingga rakyat nak jumpa wakil rakyat pun susah sehingga menyebabkan perkhidmatan terjejas,” ujarnya.