Penyokong buat tabik Nazi lepas cicit Mussolini ledak gol di Serie B

Iklan
Romano adalah cicit kepada bekas diktator Itali yang zalim, Benito Mussolini. Foto Agensi

PERSEKUTUAN Bolasepak Itali (FIGC) telah membuka siasatan selepas penyokong kelab divisyen kedua, Juve Stabia dilihat meraikan gol yang dijaringkan oleh cicit bekas diktator Benito Mussolini dengan memberi tabik Nazi.

Rakaman yang diambil semasa kemenangan pasukan itu di tempat sendiri menentang Cesena menunjukkan detik-detik selepas Romano Floriani Mussolini, 21, menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Iklan
Iklan

Ketika nama Romano disebut sebanyak tujuh kali, puluhan penyokong dilihat memberi tabik Nazi dan bersorak dengan penuh semangat serta menyebut"Mussolini."

FIGC menyatakan mereka sedang menyiasat perkara tersebut.

Iklan

"Pejabat pendakwa raya persekutuan (FIGC) akan menghantar laporan mengenai insiden ini kepada hakim sukan Serie B untuk keputusan,” kata badan induk dalam satu kenyataan.

Tahun ini, mahkamah tertinggi Itali memutuskan bahawa memberi tabik Nazi bukanlah satu jenayah, melainkan ia membahayakan ketenteraman awam atau berisiko menghidupkan semula parti fasis yang diharamkan.

Iklan

Keputusan tersebut yang dicetuskan oleh insiden di Milan, dibuat beberapa hari selepas video muncul menunjukkan ratusan lelaki memberi hormat fasis semasa perhimpunan tahunan di Rom.

Sementara itu, Juve Stabia dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web mereka, menolak sebarang kaitan antara isyarat penyokong mereka dan fasisme.

"Selama 117 tahun, kelab ini telah meraikan gol-gol pasukannya.

"Apabila nama pemain yang menjaringkan gol diumumkan, kami mengangkat tangan ke langit sebagai tanda pasukan yang berada di hati kami dan yang mewakili bandar ini. Ini adalah seperti yang berlaku dengan gol ini," menurut kelab tersebut.

Romano telah bermain dalam setiap perlawanan liga untuk Juve Stabia musim ini secara pinjaman dari Lazio, di mana dia menyertai pasukan bawah 19 tahun pada 2021.

Dalam pada itu, Romano telah meminta orang ramai untuk menilai dirinya berdasarkan prestasinya.

"Moyang saya, Benito, adalah individu yang sangat penting bagi Itali tetapi kita kini berada di tahun 2024 dan dunia telah berubah," katanya kepada La Gazzetta dello Sport, tahun ini.

Ibu Romano, Alessandra, bekas Ahli Parlimen Itali dan Eropah, adalah cucu Benito Mussolini yang rejim fasisnya merampas kuasa pada Oktober 1922 dan memerintah Itali sebelum digulingkan pada 1943.

Diktator fasis pertama pada abad ke-20 itu bertanggungjawab atas kematian sehingga sejuta orang.