SHAH ALAM - Yayasan Chow Kit (YCK) mengemukakan beberapa syor untuk menangani masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih berkesan, termasuk penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dengan memperketatkan pemantauan terhadap pesalah seksual yang dibebaskan.
Pengasas bersama YCK, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, pesalah seksual yang dibebaskan boleh dipantau secara ketat dengan beberapa kaedah khususnya penggunaan teknologi aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
"Pemantauan GPS aktif membolehkan pihak berkuasa kesan pergerakan pesalah seksual secara masa nyata. Sistem GPS ini boleh menetapkan zon larangan dan beri amaran jika pesalah memasuki kawasan tersebut,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan 13 lelaki ditahan secara berasingan kerana disyaki menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam Op Pedo di enam negeri pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu diperiksa dalam operasi bersepadu itu.
Mengulas lanjut, Hartini berkata, pihak berkaitan boleh melakukan pemantauan melalui pemeriksaan poligraf berkala demi memastikan kes sama tidak berulang.
Katanya, ujian poligraf boleh digunakan untuk memantau pematuhan syarat pembebasan dan kemajuan rawatan, sekali gus membantu mengesan pelanggaran syarat pembebasan.
Beliau turut menyarankan penggunaan perisian pengurusan pesalah seksual, yang mana perisian khas boleh digunakan untuk mengimbas peranti mudah alih pesalah dan mengesan sebarang bahan tidak sesuai
"Ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti corak tingkah laku berisiko tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pengawasan bersepadu dan pemantauan dalam talian juga boleh digunakan.
Ujarnya, pesalah seksual yang telah dibebaskan perlu dipantau secara berterusan dan lebih ketat kerana risiko residivisme.
Hartini menambah, pemantauan lebih ketat terhadap pesalah seksual dapat membantu melindungi masyarakat terutamanya kanak-kanak daripada menjadi mangsa.