SHAH ALAM – Kerajaan disaran menggantung permit syarikat bas ekspres dan persiaran yang mengulangi pelanggaran undang-undang ditetapkan termasuk gagal menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, cadangan itu bagi menjamin keselamatan penumpang apatah lagi dalam keadaan nahas membabitkan kenderaan berat dan perdagangan ketika ini banyak mengakibatkan kehilangan nyawa.
"Keselamatan penumpang adalah tanggungjawab syarikat pemilik bas ekspres atau pelancongan dan tidak boleh dipandang ringan. Jadi jika syarikat bas tetap lakukan kesalahan sama, wajarlah permit syarikat digantung.
"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengadakan operasi penguatkuasaan ke atas syarikat pengangkutan bas ke tahap optimum dan jangan benarkan bas bergerak jika tidak mematuhi akta sedia ada,” katanya pada Khamis.
Jamil Manan menjelaskan, sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715), syarikat pengusaha bas ekpres wajib menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan jarak melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan.
Katanya, isu ketiadaan pemandu kedua bukanlah baharu, malah ia telah menjadi suatu budaya yang perlukan dibanteras sepenuhnya.
"Ramai pemandu syarikat bas ekspres dan pelancongan turut gagal menyediakan atau mengisi dan mengemas kini buku log sebelum mulakan perjalanan.
"Selain itu, aspek penyelenggaraan bas secara keseluruhan juga perlu diperiksa ketika operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Jamil Manan berkata, pada masa yang sama, penumpang mesti memberi kerjasama kepada JPJ dengan memberikan maklumat mengenai salah laku syarikat bas yang dinaiki sama ada menyediakan pemandu kedua yang diwajibkan mengikut jarak perjalanan atau tidak.