KUBANG PASU - Seorang isteri buntu apabila terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sekelip mata selepas suaminya diserang angin ahmar sejak September lalu.
Rafidah Abd Hamid, 44, berkata, dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di sini terpaksa bercuti tanpa gaji sejak suaminya Mohd Faidzal Romli, 47, terlantar.
Katanya, ketika ini mereka hanya berharap pada pendapatan suaminya yang masih diterima bagi tempoh enam bulan pertama.
"HR kata selepas tamat enam bulan suami akan terima gaji separuh pula, kemudian terus tidak bergaji.
"Saya memang buntu sekarang sebab doktor pun tak dapat jangka bila suami akan pulih sepenuhnya dan saya pula selagi suami belum pulih saya tak dapat bekerja kerana tak ada orang boleh uruskan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Teja II di Changlun di sini pada Khamis.
Menurutnya, tiga anak yang masih sekolah juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi pada sesi persekolahan baharu Februari ini.
"Seorang anak saya berada di asrama Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, dua lagi masing-masing di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun.
"Yang dua orang ini pergi sekolah naik van, sebulan untuk dua orang saya kena sedia RM180. Itu belum termasuk belanja harian lagi,” katanya.
Jelasnya, suaminya yang juga seorang juruteknik di kilang sama memerlukan kos rawatan yang tinggi setiap bulan.
"Ketika ini suami masih dapat bantuan daripada Perkeso untuk susu dan pampers (lampin pakai buang), cuma tak tau sampai bila akan dapat bantuan tu.
"Perkakas untuk cuci luka, kain lapik katil pun saya kena beli juga. Nasib baik katil dan mesin sedut kahak PERKESO dah bagi,” jelasnya.
Rafidah yang berasal dari Kulim berkata, memandangkan keadaan suaminya yang terlantar, dia perlu menyewa ambulans setiap kali menghadiri janji temu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
"Saya terpaksa sewa ambulans dengan harga RM300 pergi dan balik. Bulan depan ada empat kali janji temu pada tarikh yang berlainan.
"Susah hati juga fikir, dengan anak nak sekolah, baju, buku semua kena beli. Dulu ada pendapatan dua orang, sekarang tinggal seorang saja memang tak cukup nak bayar semua komitmen,” ujarnya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana dikelilingi jiran dan komuniti yang mengambil berat keadaan mereka sekeluarga.
"Jiran dan orang Masjid Abidin Titi Kerbau antara yang terawal datang hulur bantuan kepada saya.
"Saya agak terkial-kial pada mulanya bila tiba-tiba kena urus semuanya seorang diri termasuk membuat permohonan untuk dapatkan pencen ilat suami," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, dia telah menghubungi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk membantu keluarga berkenaan.
"Kita akan hantar borang pada Ahad ini untuk cuba dapatkan bantuan bulanan bagi menampung kos rawatan Faidzal.
"Kalau tak dapat bulanan, kita akan cuba bantuan lain yang sesuai,” katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Dato’ Wan Kemara dan SMK Changlun berkata, dia akan memastikan anak-anak pasangan itu tidak tercicir persekolahan disebabkan masalah kewangan.
"Semua kos persekolahan mereka PIBG akan tanggung, asalkan mereka dapat belajar dengan lancar dan meringankan beban ibu mereka ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, kepada orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan, boleh menghubungi Rafidah di talian 012 4860159 atau salurkan sumbangan ke nombor akaun CIMB 7022150023 atas nama Rafidah Abd Hamid.