JPJ sita lori sebabkan kemalangan lima kenderaan di Melaka

Iklan
JPJ menyita sebuah lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut di KM204.0 Lebuhraya Utara Selatan, di Ayer Keroh, Melaka. Gambar kecil: Muhammad Kifli

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita lori yang mengalami tayar tercabut dan dipercayai mengakibatkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer (KM) 204.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, lori tersebut disita pada Khamis selepas pihak JPJ membuka kertas siasatan terhadap pemilik lori berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, lori itu telah dibawa ke JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

"Bagi kenderaan perdagangan yang melakukan apa-apa kesalahan teknikal termasuklah tayar tercabut yang mengakibatkan kemalangan dan sekiranya dibuktikan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Iklan

"Kenderaan terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 APAD 2010 dan kenderaan boleh dilucut hak sekiranya sabit kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam insiden kira-kira jam 8.40 malam, Isnin lalu, tujuh maut termasuk lima sekeluarga apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di KM204.0 Lebuhraya PLUS arah utara.

Iklan

Mangsa yang maut ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri, Fauziah Jaafar, 69.

Turut maut pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas persiaran warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tayar hadapan kanan sebuah lori tercabut sebelum bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan serta melanggar tiga kenderaan lain.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli memaklumkan, Ops Gempur Teknikal ke atas kenderaan perdagangan di seluruh negara yang telah dilaksanakan selama dua hari bermula Rabu merekodkan 677 pelbagai kesalahan serta 10 sitaan.

Katanya, 4,498 pemeriksaan telah dilaksanakan membabitkan kenderaan barangan serta perkhidmatan awam dan sebanyak 366 daripadanya telah diambil tindakan.

"Pelbagai kesalahan dikesan antaranya kesalahan teknikal, lebih muatan, masalah tayar dan brek, tiada lesen dan perlindungan insurans serta cermin gelap," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Ops Gempur Teknikal itu akan menumpukan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas dan kesalahan teknikal pembuatan serta penggunaan kenderaan.