'Tak sangka lebih 100 datang rai majlis konvokesyen saya'

Iklan
Normawati (tengah) bersama lebih 100 orang daripada KOR SISPA UPM pada hari kejadian.

SHAH ALAM - Seorang wanita tidak menyangka tindakan mengadu kepada rakannya mengenai tiada sesiapa yang hadir ke majlis graduasinya bertukar kepada situasi di luar jangkaan.

Jurulatih Kanan Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), Leftenan (PA) Normawati Soh, 38, berkata, dia terkejut dengan kehadiran lebih 100 orang daripada Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari kejadian.

Iklan
Iklan

"Saya memang ada mengadu kepada anak buah saya, ahli keluarga tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Lagipun ibu merupakan ibu tunggal dan tinggal di Terengganu, saya memang tidak sempat untuk pergi ambil ibu di sana sebab bekerja.

"Pada hari kejadian, kawan saya tiba-tiba hubungi dan bertanya keberadaan saya ketika itu. Saya memang tak fikir apa-apa sebab sibuk memakai jubah dan 'mortar board'. Selepas beberapa minit, saya ternampak ada orang berkawad ramai-ramai menuju ke Dewan Besar UPM.

Iklan

"Ketika itu saya nampak dia (rakan) datang dan berikan bunga. Ketika itulah baru tahu dia yang rancang untuk meraikan saya di majlis konvokesyen tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Normawati mengakui berasa sangat terkejut dengan kejutan tersebut dan menggigil ketika diraikan seperti itu.

Iklan

Tambahnya, ia merupakan rezeki daripada ALLAH kerana dihadiahkan dengan kehadiran lebih 100 individu untuk meraikan hari bahagia itu.

"Saya langsung tak tahu mereka datang untuk saya, jujur saya akui memang menggigil (tangan) daripada pagi hingga ke petang disebabkan kejutan itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua orang baik yang hadir dalam menyantuni kejayaan saya pada hari tersebut.

"Sekiranya baik pandangan orang kepada saya, itu merupakan didikan ibu saya, tetapi jika ada kurangnya saya... mungkin ia khilaf daripada diri sendiri," katanya.

Menurut Normawati, dia bukan pelajar daripada UPM tetapi merupakan graduan daripada Skim Kemahiran Malaysia (SKM) bagi bidang Pengacaraan Profesional Tahap Tiga.