KES rasuah di negara ini bagaikan tiada titik noktahnya. Setiap minggu pasti ada sahaja pertuduhan di mahkamah yang dilaporkan di akhbar-akhbar.
Daripada sekecil-kecil nilai rasuah hingga ke jumlah jutaan ringgit, tindakan undang-undang yang dikenakan kepada pemberi dan penerima seakan-akan tidak mampu mewujudkan rasa takut kepada pelakunya.
Justeru, kenyataan tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption pada tahun hadapan dilihat sebagai satu harapan baharu.
Ia bagi memastikan jenayah ini jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.
Selain itu, ia untuk memperbaiki sistem tadbir urus negara serta memastikan aset yang telah diselewengkan dapat dikembalikan demi manfaat rakyat dan negara.
Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi supaya hasrat SPRM untuk melaksanakan transformasi besar-besaran dalam struktur dan pendekatannya dapat dicapai sepenuhnya.
Dalam usaha ini, semua pihak perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan penuh kepada SPRM kerana pencegahan rasuah bukan hanya tanggungjawab badan penguat kuasa, tetapi semua lapisan masyarakat.
Rakyat harus berani melaporkan sebarang ketidakwajaran yang berlaku di sekitar mereka. Apabila ada yang hidup mewah secara tiba-tiba mengatasi jumlah gaji mereka, siasatlah.
Tindakan ini penting untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku dalam kalangan pegawai memiliki akses kepada kuasa dan wang rakyat.
SPRM juga perlu diberi kebebasan penuh untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang tanpa gangguan kerana pencegahan rasuah tidak boleh tertangguh lagi.
Dengan komitmen yang tinggi daripada SPRM dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan, diharapkan tindakan tegas ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap integriti kerajaan dan mengurangkan ketirisan dalam sistem pentadbiran negara.
Mudah-mudahan dengan segala usaha yang dijalankan, Malaysia akan terus berada di landasan yang betul menuju negara yang lebih bebas daripada rasuah, sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi dan kepercayaan rakyat.