SHAH ALAM - Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) mendakwa Majlis Peguam Malaysia mengeluarkan kenyataan berat sebelah dan prejudis berhubung hukuman sebatan syariah di khalayak ramai.
Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, hukuman tersebut dilaksanakan adalah prinsip utama kepada hukuman syariah bersifat mendidik dengan timbulnya rasa malu kepada pesalah yang telah melakukan kesalahan tidak bermoral.
"Tujuan daripada pelaksanaan hukuman sebat syariah takzir di Aceh pada dasarnya adalah untuk menimbulkan rasa malu terhadap pesalah.
"Selain itu, hukuman sebat yang dilaksanakan dapat memberi pengajaran kepada pesalah sendiri dan orang ramai malah ia melahirkan keinsafan agar tidak mengulangi lagi kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada 20 November lalu, dilaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Ekoran itu, Majlis Peguam menyifatkan pendekatan hukuman tersebut menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, hukuman sebat di khalayak umum tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
Katanya, walaupun akta membenarkan sebat, namun hukuman tersebut tidak menyatakan ia boleh dilakukan secara terbuka.
Mengulas lanjut, Wan Rohimi memberitahu kenyataan Majlis Peguam itu benar-benar membingungkan dan menimbulkan persoalan.
"Apakah Majlis Peguam berpendirian bahawa segala hukuman sebatan yang diperuntukkan di bawah undang-undang persekutuan termasuk Kanun Keseksaan juga bertentangan dengan Perkara 5?
"Sekiranya elemen ‘di khalayak ramai’ merupakan isunya, apakah hak untuk hidup dan kebebasan peribadi yang telah dilanggar di bawah Perkara 5 tersebut?
"Sedangkan wujud juga hukuman lain yang perlu dijalankan di khalayak ramai termasuk khidmat komuniti sebagai alternatif. Tidakkah ini juga menyebabkan rasa malu?” soalnya.
Sehubungan itu, Wan Rohimi mengingatkan Majlis Peguam supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tanpa asas yang kukuh dan menghormati sistem kehakiman syariah di Malaysia.
"Jangan sampaikan rakyat Malaysia berpandangan bahawa Majlis Peguam Malaysia seringkali bersifat berat sebelah dan penuh prejudis dalam krisis pertembungan antara nilai tempatan dan agama dengan barat yang terus-terusan menggila,” katanya.