BINTANG Manchester City, Raheem Sterling menyatakan kesetiaan untuk terus bersama The Citizen musim depan walaupun kelab itu tidak akan bermain di Liga Juara-Juara selama dua musim.
Ejennya,Aidy Ward berkata, Sterling mahu terus beraksi bersama City walaupun beberapa kelab besar telah mengajukan tawaran untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
"Raheem akan terus fokus bersama City dan tidak akan terganggu dengan sebarang perbincangan berpindah buat masa ini.
"Saya harap semua pihak faham dan akan menghormati keputusan ini demi masa depan beliau," katanya.
Terdahulu, City tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Europa oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas didapati bersalah melanggar peraturan fair play kewangan.
Ia sekali gus menyaksikan beberapa pemain bintang dalam pasukan itu dilaporkan bersedia angkat kaki berhijrah ke kelab lain.
Sterling yang mempunyai kontrak sehingga 2023 bersama City dilaporkan telah dirisik oleh Real Madrid yang berminat untuk membeli pemain itu pada jendela perpindahan musim panas nanti.
"Memang ada beberapa kelab merisik, namun Raheem telah membuat keputusan untuk kekal. Jadi saya tidak akan membuka sebarang rundingan untuk beliau," kata Ward.
Sterling yang menyertai City dari Liverpool pada 2015 telah menjaringkan 20 gol dalam 35 perlawanan buat City musim ini.