SHAH ALAM - Lima pemimpin DAP menyelar tindakan beberapa pemimpin Pas yang didakwa mempolitikkan majlis sambutan Hari Natal di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.
Menurut kenyataan bersama tiga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan, Pas sepatutnya mendukung hak serta kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit.
Mereka berkata, kepelbagaian etnik, ras serta kaum perlu dirai, difahami serta dihormati dan bukan untuk dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama.
"Tindakan mempolitikkan perayaan Hari Natal juga bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik sambutan itu dengan menyifatkannya sebagai satu langkah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral," menurut kenyataan itu.
"Percanggahan ini menunjukkan bahawa terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ia parti yang inklusif tetapi sebenarnya rata-rata kepimpinan Pas tidak menghormati hak rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
"Jelas bahawa semua yang terlibat dengan persembahan tersebut adalah mereka dari Sabah serta Sarawak dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut,” katanya pada Jumaat.
Pada Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memuat naik video berdurasi satu minit 48 saat di X yang memaparkan nyanyian dan sambutan perayaan krismas di pejabat kementeriannya.
Susulan itu, beberapa pemimpin Pas termasuk Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin mengecam sambutan tersebut berikutan mendakwa ia turut melibatkan kakitangan beragama Islam.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, pemimpin Pas perlu memahami ucapan Krismas oleh Takiyuddin yang merujuk kepada persamaan latar belakang agama antara Islam dan Kristian sebagai kekuatan melahirkan negara lebih baik.
"Seperti yang beliau nyatakan, Kristian merupakan agama ketiga terbesar di Malaysia malah dianuti pelbagai etnik bukan Melayu termasuk bumiputera dari Sabah dan Sarawak dan juga barisan penjawat awam di KPKT terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama.
"Adakah Naib Ketua Pemuda Pas beranggapan bahawa penganut Kristian termasuk Kor Ming serta penjawat awam lain tidak berhak meraikan hari perayaan mereka dengan cara yang muhibah dan majmuk?
"Sebagai pemimpin muda, Muhammad Hanif perlu menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak muda Malaysia dalam meraikan kepelbagaian agama serta budaya dan bukannya menjadi ejen perpecahan yang menggunakan agama sebagai mainan politik murahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera yang juga pemimpin DAP, Syerleena Abdul Rashid turut mempersoal kepada Pas sekiranya parti itu memiliki bukti kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan atau hanya percubaan untuk memecahbelahkan pandangan umum.
Beliau berkata, setiap tahun parti itu sengaja mencetuskan kontroversi berhubung ucapan perayaan mudah seperti ‘Selamat Hari Krismas’ dengan menggambarkan sebagai ancaman kepada prinsip agama.
"Perkara ini melemahkan semangat sebenar keharmonian perayaan. Lagu seperti Jingle Bells dan Deck the Halls hanya meraikan kegembiraan musim perayaan...tiada beza dengan ucapan Gong Xi Fa Cai ketika Tahun Baru Cina.
"Dengan melabelkan lagu ini sebagai pelanggaran agama, Pas menunjukkan betapa kurangnya pemahaman tentang warisan pelbagai budaya kita. Corak mengapi-apikan ketegangan agama ini bukan sesuatu yang baru bagi Pas.
"Pada 2021, pemimpin Pas membantah hiasan Krismas di ruang awam kerana mendakwa ia mengancam prinsip Islam dan pada 2017, ahli parti mendakwa ucapan krismas menjejaskan akidah Islam,” ulasnya.