Tiga termasuk suami isteri maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak - Titi Haji Idris pada malam Khamis. Foto Ihsan pembaca

PENDANG - [DIKEMAS KINI] Tiga maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak - Titi Haji Idris di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan berusia 14, 34 dan 52 tahun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang telah terima maklumat berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku lebih kurang jam 11.20 malam semasa pemandu kereta berusia 31 tahun memandu sebuah kereta Proton Wira dari Ayer Hitam menghala ke Sungai Tiang, Pendang.

Iklan

"Apabila tiba di tempat kejadian, remaja yang menunggang motosikal jenis Honda NF100M4-MA telah memotong kereta di sebelah kanan jalan lalu bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha Lagenda 115Z ditunggang sepasang suami isteri dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, akibat perlanggaran, pembonceng motosikal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah tercampak ke lorong kanan dan telah dilanggar oleh kereta yang sedang bergerak lurus.

Iklan

"Kesemua penunggang dan pembonceng telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.

Menurut beliau, remaja terbabit maut akibat kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan kiri dan kaki.

Katanya, penunggang motosikal maut akibat kecederaan di bahagian kepala, muka dan paha kanan, manakala isterinya pula maut akibat kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Beliau menambah, mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sehubungan itu, Rodzi memaklumkan, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.