KUALA TERENGGANU - Hukuman sebatan depan khalayak ramai akan dilaksanakan selepas solat Jumaat hari ini sebaik pemeriksaan kesihatan dijalankan mendapati pesalah berada dalam keadaan baik.
Menurut sumber, pemeriksaan kesihatan itu akan dijalankan sebaik pesalah berusia 42 tahun itu tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini pada petang ini.
Tertuduh sebelum itu akan dibawa dari penjara terbuka Marang dengan turut diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka sekitar jam 2.45 petang.
Difahamkan, tertuduh akan menjalani rawatan kesihatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) di Dewan A'asim masjid berkenaan.
Tertuduh sekali lagi akan menjalani pemeriksaan kesihatan selepas sebatan selesai, sebelum dibawa kembali ke penjara terbuka.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.