Gadis 20 tahun didakwa tipu sewa rumah

Iklan
Tertuduh, Iman Qistina Sari, 20 (tengah) membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

SEREMBAN - Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas empat pertuduhan menipu dalam urusan sewa rumah membabitkan kerugian berjumlah RM3,850.

Tertuduh Iman Qistina Sari, 20, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan di bacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh telah menipu empat individu dengan cara memperdayakan mangsa untuk mempercayainya mengenai urusan sewa rumah dan mendorong mereka membuat bayaran berjumlah antara RM550 hingga RM1,300.

Oleh itu, dengan curangnya telah mendorong mereka menyerahkan wang tersebut yang mana mereka tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Angsamas dan Taman Permai, Seremban pada bulan Oktober dan November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Dalam pada itu, tertuduh turut tidak mengaku salah di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan harta, iaitu sebuah motosikal jenis SYM kepunyaan seorang lelaki berusia 25 tahun.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh pada 7 September lalu jam lebih kurang 10.30 pagi di Lorong Gunung Dato Taman Angsamas, Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Ali Yaacob Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Izzati Mohd Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roslaili Alias yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Bapanya yang menghidap sakit buah pinggang terpaksa ditidurkan semalam manakala ibunya menghidap sakit jantung," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan penjamin bagi kesemua lima pertuduhan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.