Penganggur menyamar polis untuk merompak dipenjara 12 tahun

Iklan
Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang penganggur selepas mengaku salah atas dua pertuduhan merompak dua wanita Indonesia dengan menyamar sebagai polis pada Oktober dan November lepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang penganggur selepas mengaku salah atas dua pertuduhan merompak dua wanita Indonesia dengan menyamar sebagai polis pada Oktober dan November lepas.

Hakim Egusra Ali memerintahkan Mohd Khairee Mat Yasin, 35, dipenjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 9 November lepas.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa merompak dua buah telefon bimbit, sebuah tablet pintar dan wang RM270 milik Anis Md Mollah di kawasan industri di Jalan Kepong di sini pada 9.20 pagi, 20 Oktober lepas.

Dia turut didakwa merompak Ijum Sholehah di Jalan Segambut di sini pada 10.30 pagi, 5 November lepas dengan melarikan sebuah telefon bimbit, pasport dan tiket penerbangan ke Indonesia serta wang RM600 milik mangsa.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pada prosiding itu, merayu dikenakan hukuman rendah atas alasan menanggung keluarga. - Bernama

Iklan