IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 6,611 projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat membabitkan perbelanjaan hampir RM1 bilion, tahun ini.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu yang merekodkan 5,196 projek dengan peruntukan RM700 juta.
Menurutnya, projek yang dilaksanakan tahun ini meliputi 20 projek berskala besar, projek berskala kecil (3,697) projek pembangunan gerai dan kiosk (357) dan satu projek pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Manakala 362 projek lagi telah dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 meliputi peningkatan tahap kesihatan gerai, warung kecil sebanyak 87 projek, sistem perparitan dan longkang 93 projek dan penyelenggaraan kolam takungan banjir sebanyak 182 projek.
"KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam dan bina baharu di kawasan Kampung Baru Cina termasuk kampung baru cina melibatkan 2,168 projek dan geran pembangunan sosioekonomi sebanyak enam projek.
"Secara keseluruhan, projek bagi kerajaan tempatan adalah yang paling banyak dilaksanakan sepanjang tahun 2024 dengan peruntukan RM993.73 juta atau hampir RM1 bilion," katanya sempena program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Parlimen Tambun di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Kor Ming berkata, pembangunan Parlimen Tambun yang merupakan kawasan diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang diberi perhatian KPKT dengan kelulusan peruntukan RM168.7 juta melibatkan 107 projek.
Katanya, daripada jumlah itu, 55 projek adalah di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta manakala RM149.21 juta untuk Program Residensi Rakyat (PRR) Tambun yang menyediakan rumah mampu milik dan RM567,948.50 lagi bagi tujuh projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
"Bagi Parlimen Tambun juga, KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti dan Bahagian Kampung Baru Cina telah melaksanakan 34 projek baik pulih dan pembinaan baharu rumah dengan kos sebanyak RM734,640.
"Selain itu, KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam di kawasan Kampung Baru Cina dengan peruntukan sebanyak RM1.71 juta yang merangkumi 10 projek mengenai kerja-kerja menurap semula jalan dan menaik taraf taman rekreasi," katanya.
Beliau berkata, kejayaan besar KPKT dalam menjayakan projek berimpak tinggi kepada rakyat adalah disokong tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik serta pimpinan yang berintegriti.
"Komitmen ini membuatkan kita mampu melaksanakan langkah penjimatan terhadap setiap projek, mengurangkan ketirisan, pemborosan dan penyelewengan," katanya.