'Dua kali tahan lori tayar nak tercabut di lebuh raya'

Iklan
Mohd Yusri (dua dari kanan) beramah mesra dengan Kamrul Ekhsan dan anak-anaknya selepas menerima sijil penghargaan atas tindakan beraninya itu daripada Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Bukan kali pertama, sebaliknya Kamarul Ekhsan Abdul Ghani, 49, sudah dua kali mempunyai pengalaman menahan lori yang tayarnya hampir tercabut ketika di lebuh raya.

Iklan
Iklan

Menurut mekanik itu, tindakan berkenaan bagi mengelakkan musibah lebih teruk berlaku yang mungkin boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

"Pengalaman pertama saya tahan lori tayar nak tercabut ini ketika di Ijok, Selangor sekitar tahun 90-an dan saya masih ingat, sebaik saja lori itu berhenti, tayarnya terus tercabut.

Iklan

"Kes kedua pula pada 5 Oktober lalu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Keroh.

"Waktu itu tiga kali saya cuba memintas lori terbabit sebelum pemandunya berhenti selepas saya menjerit sambil tunjukkan arah tayarnya," katanya.

Iklan

Bapa kepada dua anak itu berkata demikian selepas menerima sijil penghargaan atas tindakan beraninya itu daripada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini pada Jumaat.

Ceritanya lagi, dia juga pernah cuba menahan sebuah lori yang tayarnya sudah pecah, namun yang dikesalkannya apabila pemandu terbabit tidak mahu berhenti.

Ujarnya, dia pernah bekerja sebagai pemandu lori, namun selepas tiga tahun memilih untuk berhenti kerana menyedari risikonya.

"Jadi saya tahulah berkenaan soal keselamatan lori ini selain saya juga merupakan seorang mekanik," katanya.

Sementara itu, Kamarul Ekhsan berkata, dia tidak menyangka videonya yang dimuat naik di Facebook berkenaan tindakannya memberhentikan sebuah lori yang tayarnya hampir tercabut pada 5 Oktober lalu tular semula.

Kelihatan salah satu tayar lori itu yang hampir tercabut.

Katanya, tujuannya mengambil video berkenaan bukannya mahu mencari publisiti sebaliknya sebagai bahan bukti sekiranya dituduh sengaja mencari masalah dan sebagai kesedaran kepada masyarakat.

"Yela, ada sesetengah orang fikir tahan kenderaan di lebuh raya macam itu, diingatkan penyamun dan sebab itu saya buat video dan simpannya di Facebook.

"Tapi tak sangka pula ia tular sangat terutama selepas tragedi yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, dalam kemalangan di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama dia juga tidak menyangka menerima penghargaan atas tindakannya itu kerana apa yang dilakukan adalah atas dasar tanggungjawab sebagai manusia.

"Ketika awal video itu dimuat naik, ia sudah mencapai 400,000 jumlah tontonan dan selepas kejadian di Melaka yang mengorbankan tujuh nyawa baru-baru ini, video ini sekali lagi tular.

"Waktu itu saya tak fikir apa pun, hanya fikir keselamatan orang ramai.

"Sementara tayar itu belum tercabut, kita boleh hentikan pemandunya kerana jika sudah tercabut, ia boleh menghentam apa sahaja malah boleh masuk ke laluan bertentangan," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, orang ramai boleh menggunakan saluran media sosial untuk menularkan rakaman yang memberi impak positif dan berfaedah sekali gus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"JSPT dan seluruh warga PDRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang berani dan bertanggungjawab untuk sama-sama memastikan keselamatan.

"Pemandu kenderaan juga sepatutnya mempunyai tanggungjawab memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan selamat seperti tayar, lampu dan lampu isyarat," katanya.