KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan 4 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang didakwa mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.
Hakim Egusra Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen tambahan kes kepada pihak pembelaan.
Iklan
Iklan
Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas di ALK UPNM, Sungai Besi pada jam 11.45 malam, 22 Oktober.
Amirul Iskandar yang kini diwakili peguam Ramkarpal Singh dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya masih belum menerima arahan daripada anak guam sama ada akan menyerahkan representasi atau sebaliknya. - Bernama