GEORGE TOWN - Polis berjaya menyelesaikan kes mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata terhadap seorang peguam apabila 22 individu ditahan untuk membantu siasatan di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, tiga daripada mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret pada 24 Disember lalu manakala suspek utama dituduh di mahkamah sama pada 27 Disember.
Menurutnya, keempat-empat suspek tersebut dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 41 tahun. Tiga suspek yang merupakan warga tempatan itu berperanan melakukan serangan terhadap mangsa.
"Sementara suspek utama yang berusia 46 tahun, juga warga tempatan berperanan merancang serangan terhadap peguam tersebut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 10.50 malam, Khamis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, suspek ditahan sejurus tiba dari luar negara.
"Siasatan mendapati, suspek utama tidak berpuas hati dengan peguam tersebut selepas dia memenangi satu kes sivil terhadap suspek.
"Dengan tangkapan dan pertuduhan ke atas kesemua empat suspek yang bertanggungjawab terhadap kes ini, maka kes menarik perhatian masyarakat umum ini telah berjaya diselesaikan.
Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi bantuan sepanjang siasatan kes ini," ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, polis menerima laporan polis berhubung kes tersebut pada jam 11.07 pagi, 22 Oktober lalu.
"Kes berlaku di tepi jalan Persiaran Karpal Singh pada jam 9.50 pagi yang mana, mangsa telah dipukul oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali menggunakan batang besi ketika mangsa ingin mengambil kereta di tepi.
"Akibat daripada serangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital," tambahnya.