'Saya dibogelkan, digari berbulan-bulan' - Mohammed Farik

Iklan
Lakaran Mohammed Farik (Gambar kecil) memaparkan dia dicurah air oleh ejen CIA. Foto kredit US Military Commissions defence Organisation

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo di bawah kendalian Amerika Syarikat (AS), Mohammed Farik Amin mendedahkan pelbagai bentuk seksaan yang dilaluinya ketika disoal oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), lakaran itu dibuat Mohammed Farik atas nasihat peguam, Christine Funk membabitkan tempoh lima tahun terakhir penahanannya sebagai usaha untuk memohon hukuman diringankan.

Iklan
Iklan

Lakaran yang telah dinyahrahsiakan itu kemudiannya diserahkan kepada mahkamah.

Lakaran Mohammed Farik diambil gambar dalam keadaan bogel. Foto kredit US Military Commissions defence Organisation

Menurut undang-undang mahkamah tentera, juri boleh pertimbangkan ‘sifat dan tempoh penahanan sebelum perbicaraan’ apabila menentukan hukuman sewajarnya atau mengesyorkan belas kasihan.

Iklan

Pada Januari lalu, Mohammed Farik bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep masing-masing dipenjarakan selama 23 tahun atas peranan mereka dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 48 tahun itu mengaku bersalah susulan perjanjian pra-perbicaraan dengan pihak pendakwaan, yang membolehkan mereka dihantar ke negara ketiga dan dibebaskan selepas lima tahun.

Iklan

Mohammed Farik dan Mohammed Nazir itu juga mengaku berpakat dengan seorang warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang dikenali sebagai Hambali, dalang di sebalik pengeboman tersebut.

Lakaran Mohammed Farik yang dibogelkan dan digari. Foto kredit US Military Commissions defence Organisation

Dalam dalam pada itu, menerusi dokumen yang dinyahrahsiakan, kedua-dua tahanan berkenaan mendedahkan kepada mahkamah tentang kaedah kejam dan tidak berperikemanusiaan yang digunakan oleh ejen CIA ketika berada dalam tahanan bersendirian di sebuah penjara rahsia di Afghanistan.

Kedua-dua mereka ditahan selama di sana selama tiga tahun setengah selepas tangkapan di Thailand pada 2003.

"Saya dibogelkan dan digari manakala kaki saya dirantai pada lantai selama berbulan-bulan. Saya tak boleh bergerak dalam sel. Saya buang air dalam keadaan itu. Sepanjang masa saya hanya dengar bunyi dengung,” katanya menjawab soalan Funk, menurut nota mahkamah.

Mohammed Farik mengalami pelbagai bentuk seksaan termasuk dipaksa berdiri dan tidak dibenarkan tidur. Foto kredit US Military Commissions defence Organisation

Mohammed Farik juga turut memberitahu dirinya ditumbuk, disakiti, dan diaibkan sepanjang tempoh berkenaan sehingga mengalami mimpi buruk yang berpanjangan.

Berdasarkan lakaran yang ditunjukkan kepada mahkamah, ia memaparkan tangannya diikat di belakang badan dalam keadaan mencangkung, dengan penyapu di celah lutut, manakala satu lagi lakaran memperlihatkan tangannya yang terikat diangkat ke atas kepala dan tidak dibenarkan tidur.

Menerusi satu lakaran lain, ia memaparkan empat pengawal penjara memegang kaki dan tangan Mohammed Farik sambil seorang ejen CIA mencurah air pada muka dan badannya.

Dokumen itu turut mendedahkan, Mohammed Farik mengambil tanggungjawab atas tindakannya pada 2014 dan turut memberitahu seorang pakar psikiatri bahawa pandangannya berubah selepas menyedari dia tidak mampu ubah dunia.

Pakar tersebut, Hawthorne E Smith, berkata Mohammed Farik menjadi seorang pemuda yang idealistik dan sanggup berkorban untuk kepercayaannya, yang dia percaya diancam pada ketika itu.

"Mohammed Farik menulis kepada saya selama sembilan bulan, sebelum membuat keputusan untuk mengaku bersalah.

"Katanya dia mahu buat sesuatu yang bermakna untuk kepercayaannya dan keluarga semasa di usia remaja. Pada ketika itu lah dia pertimbangkan jihad untuk melindungi kepercayaannya. Dia seorang Muslim yang idealistik.

"Mohammed Farik berkata sepanjang 20 tahun lalu, dia telah berubah. Dia bukan lagi seorang pemuda yang berang. Dia sudah berubah," ujar Smith.

Menurut dokumen berkenaan, Smith memaklumkan pesalah berasa lebih bahagia dan yakin pada agamanya serta merancang untuk melalui sisa hidupnya sebagai seorang Muslim yang baik dan aman.

Sinar Harian pada 18 Disember lalu melaporkan, AS menyerahkan kembali dua rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba, kira-kira 18 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga menerima kedua-dua banduan yang ditahan sejak 2006 itu.