Denda sehingga RM1,200 hilang pasport berkuat kuasa 2 Januari

Iklan

PORT DICKSON — Penalti antara RM200 hingga RM1,000 bagi penggantian pasport Malaysia yang hilang akibat kecuaian sudah pun diwartakan dan dikuatkuasakan sejak 2 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, denda sebanyak RM200 dikenakan kepada kepada pemilik yang kehilangan pasport kali pertama manakala kali kedua denda sebanyak RM500 dan RM1,000 dikenakan bagi kehilangan pasport kali ketiga.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun kehilangan akibat kecurian, rompakan, kebakaran atau bencana tertentu dikecualikan denda namun pemegang pasport perlu membuat laporan polis.

"Kes kehilangan pasport meningkat setiap tahun. Jadi denda yang dikenakan adalah kerana kita mahu pemegang pasport menjaga pasport mereka dengan rapi, berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 Siri 1 Tahun 2019 di Akademi Imigresen Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, jabatan itu merekodkan sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport pada tahun lepas berbanding 75,600 pada 2017 dan 44,528 pada 2016.

Iklan

"Melihat perkara ini yang meningkat setiap tahun, maka ia perlu kepada satu peraturan yang ketat kerana ia membabitkan dokumen keselamatan negara,” katanya.

Abdul Halim berkata, antara alasan kehilangan dokumen itu oleh pemegang pasport ialah hilang dalam simpan, tersalah letak serta tercicir.

"Pasport ini perlulah disimpan di tempat yang selamat,” katanya dan menambah sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 2 juta pasport telah dikeluarkan jabatan itu.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak 14,724 operasi dijalankan jabatan itu di seluruh negara membabitkan pemeriksaan terhadap 191,218 orang sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu, 48,372 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta 1,468 majikan ditahan.

"Bagi tempoh 1 hingga 10 Januari tahun ini, sebanyak 313 operasi dijalankan membabitkan seramai 3,746 individu diperiksa. Daripada jumlah yang diperiksa, 1,367 PATI dan 14 majikan ditahan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 220 peserta menamatkan latihan dengan 151 peserta lelaki dan baki 69 orang peserta wanita.

Abdul Matar Abdul Mutalib, 39, dinobatkan Kadet Terbaik Anugerah Ketua Pengarah Imigresen manakala Muhammad Ikhsan Ahmad, 32, sebagai Kadet Akademik Terbaik.

Muhamad Radhi Abdul Halim, 25; Kamarul Ihsan Umor, 27 dan Muliyati Hamid, 33, masing-masing dinobatkan Kadet Personaliti Terbaik, Kawad Lelaki Terbaik dan Kawad Wanita Terbaik.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) Datuk Seri Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Akademi Imigresen Malaysia Jasmi Juwahir. - Bernama