KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan hukuman sebatan syariah bagi pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan gangguan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, hukuman ke atas pesalah berusia 42 tahun itu dijalankan mengikut peruntukan undang-undang syariah di bawah pemantauan rapi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Hukuman ke atas pesalah yang disabitkan kesalahan khalwat kali ketiga dilaksanakan dengan lancar selepas solat Jumaat sekitar jam 3 petang tadi.
"Secara keseluruhan seramai 64 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan proses berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Selain itu, pengawasan dilakukan bagi menjamin keselamatan semua pihak termasuk pegawai bertugas dan individu dihukum serta orang awam," katanya di sini, pada Jumaat.
Jelas beliau, pelaksanaan hukuman itu merupakan sebahagian daripada usaha bersama pihak berkuasa dalam memastikan undang-undang syariah dipatuhi dan dihayati dalam kalangan masyarakat Islam.
Pada 20 November lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.