Kazakhstan gantung sementara penerbangan ke Yekaterinburg, Rusia

Iklan
Syarikat penerbangan Kazakhstan Qazaq Air, pada Jumaat mengumumkan penggantungan sementara penerbangan antara Astana dan Yekaterinburg, Rusia, atas kebimbangan keselamatan susulan nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran Aktau.

MOSCOW - Syarikat penerbangan Kazakhstan Qazaq Air, pada Jumaat mengumumkan penggantungan sementara penerbangan antara Astana dan Yekaterinburg, Rusia, atas kebimbangan keselamatan susulan nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran Aktau, lapor Agensi Anadolu.

"Qazaq Air memutuskan untuk menggantung sementara penerbangan di laluan Astana-Yekaterinburg mulai 28 Disember 2024 hingga 27 Januari 2025, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan penumpang dan kru berdasarkan penilaian risiko yang sedang berlangsung," menurut syarikat itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, penerbangan ke Omsk dan Novosibirsk di Siberia akan diteruskan kerana memenuhi piawaian keselamatan.

Laluan ke Yekaterinburg mungkin disambung semula selepas penilaian semula dibuat, menurut syarikat itu.

Iklan

Sementara itu, beberapa lapangan terbang di Rusia melaksanakan sekatan operasi buat sementara waktu demi memastikan keselamatan penerbangan awam, menurut Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia, Rosaviatsiya, lapor Xinhua.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa kru syarikat penerbangan, pengawal trafik udara dan kakitangan lapangan terbang sedang mengambil semua langkah perlu untuk mengekalkan keselamatan penerbangan.

Iklan

Langkah serupa turut diambil oleh Lapangan Terbang Sochi, yang melaksanakan sekatan sementara sekitar 5.00 pagi waktu Moscow (0200 GMT).

Di bahagian selatan Rusia, operasi penerbangan di lapangan terbang Volgograd dan Astrakhan terganggu seketika pada Jumaat akibat sekatan ruang udara.

Pesawat Azerbaijan Airlines yang dalam perjalanan dari Baku ke Grozny pada Rabu terhempas 3 kilometer dari Aktau di pesisir Laut Caspian.

Pihak berkuasa Kazakhstan memaklumkan 38 mangsa terkorban, manakala 29 terselamat.

Kazakhstan dan Azerbaijan telah melancarkan siasatan terhadap insiden itu.

Pesawat berkenaan dilaporkan tersasar dari laluan asalnya di Laut Caspian sebelum nahas berlaku.

Pihak berkuasa Kazakhstan dan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev menggesa semua pihak untuk tidak membuat spekulasi, sambil berkata cuaca buruk mungkin menjadi faktor pesawat itu tersasar dari laluan.

Nahas berlaku di tengah-tengah peningkatan aktiviti pertahanan udara Rusia yang menyasarkan dron Ukraine di rantau itu.

Data penerbangan awam menunjukkan gangguan GPS di kawasan terbabit, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan.

Namun, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menegaskan bahawa sebarang kesimpulan perlu menunggu hasil siasatan rasmi. - Bernama/Agensi