TUMPAT - Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) meneruskan agihan sumbangan di daerah Tumpat selepas Rantau Panjang pada Khamis dalam Program Misi Bantuan Banjir di Kelantan.
Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid berkata, seramai 100 penerima yang sebahagian besarnya merupakan kakitangan Hospital Tumpat yang terjejas akibat banjir luar jangka.
Beliau memberitahu, seramai lapan artis turut serta pada program tiga hari bermula Khamis.
"Kelantan merupakan negeri pertama yang kami kunjungi untuk misi ini dan kami cuba membantu meringankan beban mangsa yang terlibat banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Hospital Tumpat pada Jumaat.
Program turut dihadiri oleh penyanyi Zur Eda, Norshila Amin dan Mawi.
Sementara itu, Pembantu Perawatan Kesihatan hospital berkenaan, Khairul Hamidi Hassanuddin, 34, bersyukur kerana sumbangan itu dapat menceriakan anak-anaknya melalui beg yang mengandungi kit pergigian, makanan asas dan surah Yasin.
Khairul Hamidi yang tinggal di Kampung Geting di sini, memberitahu, terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Tumpat selama lima hari bermula 28 Disember lepas.
"Saya mengambil masa empat hari untuk membersihkan rumah yang dinaiki air sehingga 0.6 meter," katanya.
Jelas bapa tiga anak itu lagi, banyak barangan rumahnya tidak dapat diselamatkan kerana terlalu lama ditenggelami air.
Seorang lagi kakitangan hospital itu, RoseHafiza Mohmad Sukri, 39, berkata, bantuan berkenaan dapat menceriakan mereka yang sebelum ini berdepan banjir teruk.
Menurut RoseHafiza yang juga bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan, sepanjang tempoh banjir dia terpaksa tinggal di Pusat Latihan hospital berkenaan bagi memudahkannya berulang-alik ke wad.
"Saya membuat keputusan itu kerana tidak mahu berada dalam keadaan sukar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai petugas di sini," katanya.
Pada program berkenaan, mereka dihiburkan oleh Mawi melalui lagu Kian dan Gadis Melayu.