TEL AVIV - Siren amaran bergema lagi di sebahagian besar wilayah Israel susulan serangan misil dilancarkan di Yemen yang menyasarkan Tel Aviv pada awal pagi Jumaat yang turut memaksa penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion.
Perkhidmatan kecemasan Israel memaklumkan seramai 18 pendatang haram Yahudi turut cedera ketika cuba mencari tempat berlindung.
Rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukkan kegagalan sistem pertahanan udara Iron Dome yang menjadi kebanggaan rejim Tel Aviv selama ini untuk menangkis projektil yang menuju ke wilayah berkenaan.
Serangan misil itu turut menyaksikan separuh daripada populasi di Tel Aviv dikenakan lockdown akibat kelemahan sistem pertahanan rejim Zionis.
Serangan balas berskala besar ke atas sejumlah lokasi termasuk lapangan terbang Ben Gurion itu dilancarkan kumpulan pemberontak Huthi, beberapa jam selepas rejim Zionis membedil ibu kota Sanaa dan bandar pelabuhan Hudaydah.
Israel turut melancarkan lebih enam serangan udara ke atas lapangan terbang di Sanaa dan pangkalan tentera udara al-Dailami.
Jurucakap gerakan Ansarullah, Mohammed Abdulsalam menyifatkan kempen pengeboman ganas Zionis jelas satu bentuk jenayah terhadap rakyat Yemen.
Sepanjang minggu ini, perang Huthi-Israel yang tercetus sejak akhir November semakin meningkat setelah angkatan bersenjata beberapa kali melakukan serangan balas hingga menyebabkan jutaan pendatang haram Yahudi berada dalam ketakutan.
Pada kali ini, benarlah seperti buku bertemu ruas berikutan lebih tiga kali siren amaran terpaksa dibunyikan sejak awal minggu lalu susulan respons agresif dibuat pemberontak Huthi ke atas serangan menggila Tel Aviv. - Agensi