SEREMBAN - Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di kawasan Taman Dusun Nyior di sini kerana disyaki memiliki dadah bernilai RM18,194 pada Jumaat.
Lelaki dan wanita masing-masing berusia 38 dan 54 tahun itu ditahan dalam operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Rahang pada jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai dadah jenis methamphetamine, heroin dan eramin 5.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai 12 peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 151.15 gram, 18 paket plastik lut sinar dan satu bungkusan kertas putih berisi bahan disyaki heroin anggaran berat 96.84 gram dan empat biji pil eramin 5.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM18,194 dan polis turut merampas dan menyita wang tunai berjumlah RM2,699," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, ujiran saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) peruntukan yang sama.
"Kedua-dua suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini(Jumaat) untuk siasatan lanjut.
"Polis turut mengesan rakan-rakan sejenayah suspek yang lain dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah atau penyalahgunaan dadah boleh salurkan kepada polis dengan menghubungi talian 06-6032222 atau hotline WhatsApp 012-6062702," katanya.