PASIR GUDANG - Penduduk kawasan perumahan berpagar, Sapphire 8, Bandar Seri Alam di sini, menggesa pihak pemaju tidak meneruskan pembinaan struktur berhampiran di pintu keluar masuk kawasan perumahan berkenaan kerana ia bakal menghalang laluan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur berkenaan akan dibina betul-betul di hadapan pintu masuk ke kawasan perumahan hingga menyebabkan rata-rata penduduk tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan.
Seorang penduduk, Grace Ng, 62, berkata, pihak pemaju baharu di kawasan itu tidak seharusnya melakukan pembinaan struktur tersebut tanpa berbincang dengan penduduk.
Katanya, pembinaan struktur itu bukan hanya memberikan kesukaran kepada penduduk, tetapi juga bakal menyebabkan kesesakan trafik.
"Sebenarnya, mereka tak boleh bina 'island' di sini, tapi kalau dia buat, semua orang tak boleh pusing (belok) kanan, ini memang menyusahkan.
"Kita juga risau kerana jalan di depan ini akan penuh sesak nanti," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ivan Doraisamy, 60, pihak pemaju sewajarnya memikirkan untuk membina lampu isyarat di persimpangan berkenaan daripada membina struktur yang hanya menimbulkan kesulitan kepada penduduk.
Justeru katanya, pembinaan lampu isyarat di situ dilihat bakal memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya lain khususnya bagi mematuhi lampu isyarat.
"Sebab itulah kami buat bantahan ini dengan jemput YB (wakil rakyat), untuk selesaikan masalah," katanya.
Seorang lagi penduduk, Andrew Tan, 61, turut menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan cadangan pembinaan struktur berkenaan di situ.
Katanya, sikap pemaju yang tidak membuat perbincangan dahulu dengan penduduk tutut mengecewakan.
"Kita tak puas hati sebab kita orang 'lama' di sini... tapi tiba-tiba pemaju nak buat sesuka hati macam dan susahkan penduduk.
"Jadi, kali ini, kami minta bantuan YB (Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim) untuk tolong kita," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pihak berwajib seperti Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), memanggil pihak penduduk serta pemaju untuk bermesyuarat berhubung perkara ini.
Bagaimanapun katanya, penduduk di Sapphire 8 perlu diberikan keutamaan kerana mereka telah tinggal lama di kawasan perumahan berkenaan.
"Mereka ni penduduk lama, bayar cukai.. jadi kepentingan mereka tak boleh diganggu.
"Oleh itu, apa sahaja usaha yang dibuat, kena pentingkan mereka ini dan dalam soal ini memberikan kemudahan bagi urusan keluar masuk mereka ke rumah sendiri," katanya.